Tuesday, May 17, 2011

SAINTIS BUKTIKAN NABI MUSA BELAH LAUT





BOULDER, Amerika Syarikat (AS) - Saintis-saintis di AS membuktikan kebenaran kisah Nabi Musa membelah laut seperti yang diceritakan dalam kitab suci al-Quran dan Injil, lapor sebuah akhbar semalam.

Satu kajian oleh sepasukan penyelidik yang diketuai saintis Carl Drews dari Pusat Penyelidikan Atmosfera Nasional di sini, mendapati fenomena itu tidak bercanggah dengan hukum fizik.

Kitab al-Quran menceritakan bahawa Nabi Musa membelah laut dengan menghentakkan tongkatnya ke tanah semasa baginda dan kaum Bani Israel terperangkap di antara pasukan tentera Firaun yang sedang mara dan laut di hadapan mereka.

Kumpulan saintis itu yang mengkaji beberapa peta kuno Delta Sungai Nil mendapati laut terbelah itu merujuk kepada sebuah lagun yang kini dikenali sebagai Tasik Tanis di selatan Laut Mediterranean dekat Laut Merah dan satu cawangan Sungai Nil.

Kini, dengan menggunakan simulasi komputer, saintis-saintis itu menunjukkan bahawa laut berkenaan terbelah dua melalui proses tiupan angin kencang yang dikenali sebagai angin timur bertiup selaju 100.8 kilometer sejam (km/j) selama 12 jam menyebabkan aliran air sungai dan lagun itu berpusing balik lalu membentuk seperti dinding air.

Satu model lautan komputer kemudian digunakan sebagai simulasi bagi melihat kesan angin yang bertiup semalaman ke atas air sedalam beberapa meter itu.

Selama empat jam, tiupan angin tersebut menghasilkan jambatan darat sepanjang 3.2 kilometer (km) dan selebar 4.8km.

Sejurus selepas angin timur reda, air lagun dan sungai itu kembali mengalir ke tempat asal seperti ombak tsunami.

Hasil kajian saintis berkenaan disiarkan di Internet oleh Jurnal Public Library of Science ONE. - Agensi

KOMENTAR FAQIR

Apalah sangat sains kalau nak dibandingkan dengan kemukjizatan Al-Quran. Benarlah kata mereka yang mengatakan mengetahui sains secara tidak mendalam (ala kadar) akan membawa saintis itu kepada atheis (tidak percaya wujudnya tuhan) dan mereka yang mempunyai kepakaran dan kedalaman ilmu di dalam sains akhirnya akan membawa kepada WAHDU ZATIHI dan boleh membawa saintis itu kepada hidayat.

Semakin hari dan semakin dekat dengan qiamat maka semakin terbongkarlah kemukjizatan Al-Quran dan ini akan menambahkan iman orang-orang Mukmin terhadap kehebatan Allah Jala Jalaluh. Namun Si Mukmin yang sejati tidaklah berharap
kepada pembongkaran dari sudut sains barulah nak bertambah iman kerana gambaran bertambahnya iman si mukmin di gambarkan oleh Allah SWT dalam surah Anfal ayat 2:-

وَإِذَا تُلِيَتْ عَلَيْهِمْ آَيَاتُهُ زَادَتْهُمْ إِيمَانًا وَعَلَى رَبِّهِمْ يَتَوَكَّلُونَ

Dan apabila dibaca ayat allah (Al-Quran) ke atas mereka (orang-orang mukmin) bertambahlah iman mereka dan mereka hanyalah bertawakkal ke atas Rab mereka.

Mudah-mudahan pembongkaran demi pembongkaran akan menarik lebih ramai orang kafir kepada hidayat Allah kerana Allah SWT di dalam memberikah hidayahnya tidak berhajat kepada sesiapapun daripada makhluknya sepertimana firmannya di dalam surah sajadah ayat 13

وَلَوْ شِئْنَا لَآَتَيْنَا كُلَّ نَفْسٍ هُدَاهَا

Dan sekiranya kami (Allah) kehendaki nescaya kami menganugerahkan hidayahnya kepada setiap jiwa (manusia) INTIHA

ABU LAIBAH
KUALA LUMPUR
17 MEI 2011