Wednesday, July 6, 2011

MARI MENGENAL HADIS PART 1




Hadis merupakan sumber hukum di dalam syariat Islam selepas Al-Quran, Ijmak dan Qias. Di dalam hal yang demikian kedudukan Hadis adalah sumber kedua selepas sumber Al-Quran itu sendiri. Apakah yang dimaksudkan dengan Hadis?

PENGERTIAN HADIS

Secara mudahnya Hadis boleh ditakrifkan sebagai segala perkataan (sabda), perbuatan dan ketetapan serta persetujuan (taqrir) dari Nabi Muhammad SAW yang dijadikan ketetapan (syariat) ataupun hukum di dalam agama Islam.

Apakah pula yang dikatakan kepada Khabar?

PENGERTIAN KHABAR

Ibnu Hajar Asqalani menukilkan di dalam syarah Nukhbatul Fikr bahawa di sisi Ulamak, khabar adalah satu bidang yang hampir seerti dengan Hadis. Namun demikian, Hadis dikatakan kepada barang apa yang datang daripada Nabi SAW dan Khabar adalah barang apa yang datang daripada selain dari Nabi SAW (iaitu dari Para Sahabat RA). Ada juga yang mengatakan di antara keduanya mempunyai hubungan umum dan khusus mutlak iaitu setiap hadis itu adalah khabar dan tidak semestinya setiap khabar itu adalah Hadis.

Terdapat sekalian ramai ulamak periwayat Hadis. Walau bagaimanapun yang masyhur dan yang sering menjadi rujukan daripada Hadis-hadisnya adalah Imam Bukhari, Imam Muslim, Imam Abu daud, Imam Tirmizi, Imam Ahmad, Imam Nasai, Imam Malik, Imam Ibnu Majah dan Imam Nasa’ie.

PEMBAHAGIAN HADIS

Dari segi banyak dan sedikitnya bilangan perawi


Hadis Mutawattir

Adalah hadis yang diriwayatkan oleh sekumpulan manusia dari beberapa sanad yang yang mana bilangannya secara adat kebiasaannya memustahilkan untuk mengatakan yang mereka berdusta. Berdasarkan hal itu, Ibnu Hajar Asqalani menulis dalam syarah Nukhbatul Fikr empat syarat untuk dipenuhi bagi membolehkan sesuatu Hadis itu dikatakan Mutawattir.

1. Hadis itu adalah hal yang dapat dicapai oleh pancaindera.
2. Perawi mestilah sejumlah orang yang mana menurut adat kebiasaannya tidak mungkin berdusta.
3. Perawi-perawi itu mestilah terdapat dalam semua generasi dari awal hingga ke akhir
4. Ibnu Hajar menambah mestilah khabar yang diterima itu memberi faedah keyakinan kepada si pendengar.

Berapakah bilangan perawi yang mesti wujud pada setiap generasi?

Ada Ulamak yang menetapkan sekurang-kurangnya mestilah 4 orang, ada yang menetapkan 5 orang, ada yang mengatakan 7, 10, 12,40 sehingga 70 orang. Namun demikian Ibnu Hajar mengatakan tiada bilangan yang tetap tetapi yang penting mestilah menepati syarat di atas.

Hadis Masyhur

Hadis yang diriwayatkan oleh lebih daripada dua orang perawi iaitu tiga orang perawi ke atas selagi mana tidak mencapai syarat mutawattir. Bermakna untuk menjadikan sesuatu hadis itu masyhur, bilangan perawi yang paling kurang mestilah lebih daripada dua orang pada setiap generasi. Hadis Mutawattir juga dikenali sebagai Hadis Mustafidh.

Hadis Aziz

Hadis yang diriwayatkan oleh paling kurang dua orang perawi pada setiap generasi. Dinamakan hadis ini sebagai Hadis Aziz disebabkan kurangnya hadis ini diketemui.

Hadis Gharib

Hadis yang diriwayatkan oleh perawi tunggal (seorang perawi sahaja) juga daripada perawi tunggal pada setiap generasi.

Kesemua empat jenis hadis di atas kecuali Hadis Mutawattir disebut sebagai Hadis Ahad dan setiap satu darinya pula disebut Khabar Wahid. Ulamak telah menggariskan bahawa hadis Ahad mempunyai dua jenis iaitu Hadis Sohih dan Hadis Dhaif. Namun demikian Imam Tirmizi pula telah membahagikan Hadis ini kepada tiga jenis iaitu:-

Hadis Sohih

Hadis yang bersambungan sanadnya (tidak terputus) yang diriwayatkan oleh orang yang adil dan dhobit (kuat ingatannya) selagi mana tidak bertentangan dengan Hadis Sohih yang lain dan juga tidak mempunyai kecacatan (samada pada sanad mahupun matan hadis). Maka Hadis Sohih itu mestilah memenuhi beberapa kriteria yang berikut :-
1. Kandungan isinya tidak bercanggah dengan Al-Quran
2. Sanadnya haruslah bersambungan
3. Perawinya mestilah adil
4. Perawinyan adalah orang yang dhobit (kuat ingatannya)
5. Tidak Syaz (tidak bercanggah dengan Hadis Sohih yang lain)
6. Tidak mua’llal (tidak mempunyai sebarang kecacatan)

Hadis Hasan

Hadis yang diketahui akan sumbernya dan perawinya adalah masyhur sehinggakan tidak ada yang disangkakan dusta di kalangan perawinya dan juga tidak bertentangan dengan Hadis yang lain. Setengah Ulamak mengatakan kedudukan Hadis Hasan adalah pertengahan iaitu di antara Hadis Sohih dan Dhoif namun masih lagi di tahap Hadis yang boleh dijadikan hujah dalam syariat berbanding dengan Hadis Dhoif.

Hadis Dhoif

Hadis yang tidak bersambungan sanadnya dan perawinya pula tidak adil, tidak dhobit dan syaz lagi mempunyai kecacatan. Dengan kata mudah hadis Dhoif adalah hadis yang tidak mepunyai kriteria kriteria yang ada di dalam hadis sohih dan hadis hasan.

Dari segi sanadnya yang bersambung.


Hadis Mausul

Hadis yang bersambungan sanadnya terus hingga kepada Nabi Muhammad SAW tanpa terputus. Hadis ini juga disebut Hadis Marfu’.
3.) Dari segi sanadnya yang terputus.

Hadis Muallaq

Hadis yang dibuang perawinya pada permulaan sanad dengan tidak mengambil kira perawi yang dibuang itu seorang ataupun lebih. Maka hadis ini akan menjadi tergantung.

Hadis Munqati’

Hadis yang mana hilang atau terputus seorang atau dua perawi pada sepanjang thuruk (jalan sanad) selain daripada Sahabat dan Tabi’e.

Hadis Mursal

Hadis yang diriwayatkan bersambungan sanad sehingga Tabi’e daripada Nabi Muhammad SAW tanpa menyebut nama Sahabat RA di tengahnya.

Hadis Mu’dol

Hadis yang mana perawinya gugur dari sanad dua orang perawi ataupun lebih secara berturut-turut samada di awal sanad ataupun di akhir sanad.

Hadis Mudallas


Hadis yang mana disembunyikan akan keaiban perawi yang terdapat pada sanad dan mencantikkannya pada pandangan zahir.

ABU LAIBAH
7 JULY 2011
KUALA LUMPUR