Saturday, June 12, 2010

40 TAMSIL DALAM USAHA AGAMA

Tamsilan merupakan suatu uslub atau method untuk menerangkan sesuatu supaya ianya menjadi mudah dan senang untuk difahami. Allah SWT sendiri kadang kadang menggunakan uslub tamsil bagi memudahkan hamba-Nya memahami maksud dan matlub Al-Quran. Seperti mana Allah Taala sendiri menerangkan di dalam surah Al-Baqarah :-

إِنَّ اللَّهَ لَا يَسْتَحْيِي أَنْ يَضْرِبَ مَثَلًا مَا بَعُوضَةً فَمَا فَوْقَهَا

Terjemah: Sesungguhnya Allah SWT tidak malu untuk menerangkan misal seperti nyamuk atau terlebih kecil darinya (dari segi kedudukan) Al-Baqarah ayat 26.

Malah masyarakat melayu sendiri telah menggunakan pelbagai tamsilan di dalam kehidupan seharian mereka. Jika diperhatikan telah wujud pelbagai tamsil berbentuk pepatah atau bidalan di dalam percakapan melayu seperti kata orang macam aur dengan tebing untuk menunjukkan keakraban hubungan seseorang dengan yang lain atau seperti katak di bawah tempurung untuk menggambarkan sifat jumud seseorang. Di bawah ini Faqir menulis 40 tamsilan di dalam usaha agama yang yang dinukilkan oleh Allah SWT sendiri di dalam Al-Quran atau disabdakan oleh Nabi SAW dalam Hadis atau yang dinukilkan oleh Ulamak dahulu mahupun sekarang.

1.) Allah SWT menerangkan :-

مَثَلُهُمْ كَمَثَلِ الَّذِي اسْتَوْقَدَ نَارًا فَلَمَّا أَضَاءَتْ مَا حَوْلَهُ ذَهَبَ اللَّهُ بِنُورِهِمْ وَتَرَكَهُمْ فِي ظُلُمَاتٍ لَا يُبْصِرُونَ

Terjemah :- Misal mereka adalah seperti misal orang-orang yang menyalakan api kemudian tatkala api itu menerangi sekitar mereka, Allah SWT telah menghilangkan
cahaya mereka dan membiarkan mereka di dalam kegelapan tidak dapat melihat.
(Al-Baqarah).


Allah SWT telah mengumpamakan orang-orang munafik yang bersohbat dengan Nabi
SAW seperti orang yang telah menyalakan api untuk mendapatkan cahaya tapi malang
nya cahaya itu tidak dapat memberi faedah kepada mereka kerana mereka tidak mempunyai mata untuk melihat. Begitulah digambarkan orang-orang munafiqin yang mana walaupun duduk di dalam cahaya hidayah bersama nabi, namun masih belum mendapat hidayah kerana cahaya hati mereka telah dihilangkan oleh Allah SWT.

2.) Allah SWT berfirman :-

مَثَلُ الَّذِينَ يُنْفِقُونَ أَمْوَالَهُمْ فِي سَبِيلِ اللَّهِ كَمَثَلِ حَبَّةٍ أَنْبَتَتْ سَبْعَ سَنَابِلَ فِي كُلِّ سُنْبُلَةٍ مِئَةُ حَبَّةٍ وَاللَّهُ يُضَاعِفُ لِمَنْ يَشَاءُ وَاللَّهُ وَاسِعٌ عَلِيمٌ

Terjemah :- Misal mereka yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah adalah seperti satu benih yang telah mengeluarkan tujuh tangkai dan setiap tangkai mempunyai seratus biji buahan. Dan Allah akan menggandakannya bagi mereka yang dikehendakinya dan Allah mempunyai ilmu yang luas. ( Al-Baqarah).

Ayat di atas Allah SWT telah mengumpamakan ganjaran bagi orang yang membelanjakan harta mereka di jalan Allah, pahala mereka akan bertambah seperti benih yang mengeluarkan tujuh tangkai dan setiap tangkai pula akan mengeluarkan 100 buahan dan Allah SWT akan menggandakan lebih dari itu lagi bagi sesiapa yang dikehendakinya

3.) فَمَثَلُهُ كَمَثَلِ الْكَلْبِ إِنْ تَحْمِلْ عَلَيْهِ يَلْهَثْ أَوْ تَتْرُكْهُ يَلْهَثْ

Terjemah :- Maka bandingannya seperti anjing jika engkau menghalaunya, dijulurkan
Atau engkau membiarkannya pun ia menjulurkan lidah. (Al-A’raf).


Ayat ini Allah SWT membandingkan ulamak yang menginginkan dunia dari agamanya dan yang mengikuti hawa nafsunya adalah seumpama anjing yang sentiasa menjelirkan lidah tidak kira samada kamu menghalaukannya atau membiarkannya yakni menggambarkan sikap ulamak jenis ini yang sentiasa menginginkan habuan dunia.


4.) مَثَلُ الَّذِينَ اتَّخَذُوا مِنْ دُونِ اللَّهِ أَوْلِيَاءَ كَمَثَلِ الْعَنْكَبُوتِ اتَّخَذَتْ بَيْتًا

Terjemah:- Misal bagi mereka yang menjadikan selain Allah sebagai wali adalah seum
pama labah-labah yang membuat sarang. (Al-Ankabut).


Di dalam ayat ini Allah SWT telah mengumpamakan bandingan orang yang menjadikan selain Allah SWT sebagai tempat pergantungan adalah seumpama sang labah-labah yang membuat sarangnya dan merasakan rumahnya itu amat kukuh lagi utuh, sedangkan dengan satu tiupan angin sahaja sarang itu boleh hancur. Begitulah mereka yang mengambil selain Allah sebagai tempat bergantung mereka menganggap itulah tempat pergantungan yang kukuh, tapi hakikatnya seperti sarang labah-labah sahaja.

5.) مَثَلُ الَّذِينَ حُمِّلُوا التَّوْرَاةَ ثُمَّ لَمْ يَحْمِلُوهَا كَمَثَلِ الْحِمَارِ يَحْمِلُ أَسْفَارًا

Terjemah :- Perumpamaan orang-orang yang menanggung kitab-kitab taurat Kemudian tidak mengamalkannya adalah seumpama kaldai yang membawa kitab-kitab yang tebal.
(Al-Jum’ah).

Di dalam ayat ini Allah SWT telah membandingkan misal orang-orang yang berilmu, tetapi tidak mengamalkan ilmu yang dipelajarinya tidak lain hanyalah seumpama seekor
kaldai yang mengusung kitab-kitab yang tebal lagi banyak yakni ilmu mereka tidak dapat memberi manfaat kepada mereka dan orang lain.

6.) Hadis Nabi SAW :-

مثل الزين يزكرون ربهم والزين لا يزكرون ربهم كمثل الحي والميت

Terjemah :- Perbandingan orang yang berzikir pada Allah dan orang yang tidak berzikir adalah perbandingan orang yang hidup dan orang yang mati.

Hadis ini menerangkan perumpamaan orang yang sentiasa mengingati Allah SWT dan orang yang lalai kepada Allah SWT adalah seumpama orang yang hidup dan orang yang mati yakni orang yang berzikir ibarat orang yang hidup di sisi Allah dan orang yang lalai ibarat orang yang mati di sisi Allah SWT.

7.) ألحسد ياكل العمل كما يأكل النار الحطب

Terjemah :- Sifat hasad (dengki) akan menghilangkan amalan sepertimana api yang membakar kayu yang kering.

Hadis ini menerangkan tentang bahayanya sifat dengki mendengki kerana ianya akan melenyapkan segala amalan kebaikkan yang kita buat sepertimana cepatnya api yang marak memakan kayu api yang kering.

8.) المؤمن في المسجد كالسمك في الماء

Terjemah:- Orang mukmin di dalam masjid seumpama ikan di dalam laut.

Hadis menggambarkan sifat sebenar orang mukmin apabila mereka berada dalam masjid iaitu sentiasa tenang dan aman sepertimana tenang dan amannya ikan-ikan
apabila berada di dalam air.

9.) كن في الدنىى كانك غريب او عابرسبيل

Terjemah:- Tinggallah di dunia ini seolah-olah engkau seorang pedagang atau seorang musafir.

Hadis bermaksud Rasulullah SAW menasihatkan kita semua supaya tinggal di dunia yang fana ini seperti seorang yang asing atau seorang musafir yang sentiasa memikirkan untuk meneruskan perjalannya tanpa melengah-lengahkan perjalanannya supaya cepat sampai di destinasi. Begitulah kehidupan kita di dunia ini adalah ibarah musafir yang sedang dalam perjalanan kepada Allah SWT.

10.) الصلاة عماد الدين من اقام الصلاة فقد اقام الدين من ترك الصلاة فقد هدم الدين

Terjemah:- Sembahyang adalah tiang agama, barangsiapa yang mendirikan sembahyang, sesungguhnya dia telah mendirikan agama dan siapa yang meninggalkan sembahyang, sesungguhnya dia telah meruntuhkan agama.

Hadis menggambarkan bahawa solat itu sebagai tiang agama. Sesiapa yang mengqaimkan sembahyang seolah-olah dia telah mendirikan agama, dan sesiapa meninggalkan sembahyang seolah-olah dia telah meruntuhkan agama.

11.) الدنيى سجن المؤمن وجنة الكافر

Terjemah:- Dunia adalah penjara bagi orang mukmin dan syurga bagi orang kafir

Hadis mengumpamakan dunia ini adalah seperti penjara bagi orang mukmin yakni sepertimana dalam penjara banduan tidak bebas dan tidak boleh melakukan sesuatu sesuka hati begitu juga di dunia orang mukmin tidak boleh berlandaskan nafsu samata. Bagi orang kafir pula dunia ibarat syurga kepada mereka kerana mereka tidak terikat dengan syariat.

12.) علماء امتي كانبياء بنى أسراىل

Terjemah:- Ulamak di kalangan umatku adalah seumpama Anbiya bani Israel.

Hadis menerangkan tentang kehebatan ulamak di kalangan umat Nabi Muhammad SAW adalah seumpama darjat Nabi-nabi di kalangan bani Israel.

13.) Nabi SAW mengumpamakan sifat ulamak adalah seumpama Ghais Kasir (awan yang mengandungi hujan) yang mana awan ini bergerak ke seluruh dan setiap kawasan samaada di gunung, gurun, hutan dan lautan atau di tanah lapang. Di kawasan mana awan ini bergerak ia akan menurunkan hujan yang seterusnya akan membasahi bumi di setiap kawasan tersebut tadi. Begitulah ibarat ulamak yang disifatkan sebagai sentiasa bergerak kepada setiap umat samada jahil alim tua atau muda untuk memberikan dakwah.
(Mafhum Hadis Nabi SAW)

14.) نحو في الكلام كالملح في الطعم

Terjemah:- Ilmu nahu di dalam kalam adalah seumpama garam di dalam masakan.
(Qaul Ulamak)

Ungkapan ini menerangkan tentang kepentingan menguasai ilmu nahu di dalam pengajian ilmu agama adalah seumpama pentingnya garam dimasukkan di dalam sesuatu masakan. masakan akan menjadi hambar apabila tidak dimasukkan garam.

15.) Kehidupan akhirat adalah kekal abadi dan dunia ini akan berakhir (fana) dan tidak kekal seumpama kalaulah dunia ini dipenuhi dengan biji-bijian. Selepas setiap seribu tahun akan datang seekor burung yang bertugas untuk mematuk sebiji daripada bijian itu dan membawanya ke planet lain, lama kelamaan bijian itu akan kehabisan pada suatu hari. Tapi kehidupan akhirat adalah satu kehidupan yang tiada pengakhirannya.
(Imam Ghazali)

16.) Manusia yang mengumpul harta dan membina rumah yang besar di dunia ini dan pada masa yang sama tidak mengenali kehebatan Allah adalah seumpama seekor semut yang membuat sarangnya di salah satu daripada beribu-ribu tiang istana raja. Semut itu merasakan sarang yang dibinanya amatlah hebat sedangkan ianya hanyalah secebis dan menumpang di salah satu tempat yang amat terpencil di tiang istana raja. Begitulah ibarat manusia yang membina binaan yang hebat-hebat. Haqiqatnya mereka hanyalah menumpang di secebis tempat di sebuah binaan Allah Taala yang Maha Agung.
(Imam Ghazali).

17.) Kesah seorang raja yang bermimpikan sekumpulan pengembala unta yang sedang berlari-lari di atas bumbung istana baginda. Sang Raja bertanya apakah yang kamu sedang buat di atas bumbung aku.Dijawabnya kami sedang mencari unta yang hilang.Jawab Raja kenapa kamu semua bodoh kerana mencari unta di sini?. Di balas balik oleh pengembala sebenarnya kamulah yang bodoh kerana inginkan hidayah Tuhan tapi mencarinya di istana. Selepas itu, Raja pun beruzlahlah dan meninggalkan istana sehingga telah menjadi Waliallah yang terkenal.
(Kesah Ibrahim Idham).

18.) Maulana Ilyas RA berkata amat senang untuk seorang memasuki syurga iaitu hanyalah melalui dua langkah sahaja. Satu langkah menekan nafsu syahwat dan satu langkah lagi telahpun melangkaui syurga. Mengumpamakan seseorang yang ingin memasuki syurga hanyalah perlu mengekang diri daripada mengikut hawa nafsunya iaitu dengan mengikut segala perintah Allah dan Rasul dan mengelak diri daripada apa yang dilarang oleh Allah dan Rasulnya. Apabila mati syurga akan menunggunya.
( Malfuzat Maulana Ilyas).

19.) Maulana Ilyas mengumpamakan kurniaan Allah SWT dua mata kepada manusia seolah-olah mata pertama untuk melihat kebaikkan yang ada pada orang lain dan satu mata lagi digunakan untuk melihat kelemahan diri kita sendiri.
(Malfuzat Maulana Ilyas).

20.) Maulana Ilyas mengumpamakan kerja dakwah sebagai ibu kepada segala kebaikkan adalah ibarat seekor burung yang diletakkan di dalam lingkungan seratus cermin. Maka akan tergambarlah seratus ekor burung di dalam cermin tadi. Tapi apabila kita menangkap burung yang asal di tengah, maka dengan sendiri seratus ekor burung yang tampak di dalam cermin akan kita miliki. Begitulah ibarat apabila kita mengambil kerja dakwah, segala sifat mahmudah yang lain akan beransur-ansur datang dalam kehidupan kita.
(Maulana Ilyas).

21.) Umat yang tidak mahu bermujahadah dan hanya mengamalkan agama yang selaras dengan nafsunya hari ini diibaratkan oleh Maulana sebagai seorang yang mahu tubuhnya ditulis tattoo singa. Apabila Si penulis mahu melukis ekor singa dia merasa sakit lalu dia menyuruh dibuang sahaja ekor singa dan katanya tanpa ekor pun tetap nampak singa. Bila hendak dilukiskan kaki singa dia merasa sakit lagi dan di suruh buang kaki singa. Lama-kelamaan singa yang dilukis tidak lagi kelihatan singa. Begitulah ibarat umat hari ini yang tidak mahu mengamalkan sunnah. Apabila dikatakan simpan janggut, ianya bertentangan dengan nafsu dan berkata tanpa janggut pun masih lagi tinggal agama. Bila dikatakan pergi sembahyang jemaah dia berkata tanpa jemaah pun agama masih wujud. Lama-kelamaan agama ini tidak lagi tinggal agama.
(Maulana Yusof).

22.) Maulana Yusof RA mengumpamakan orang mukmin sebenarnya adalah seperti singa yang sentiasa memakan makanan atau daging yang segar sahaja iaitu tidak memakai bangkai. Begitulah ibarat kehebatan mukmin sepertimana Sahabat RA yang mana sentiasa makanan yang di nusrah Allah SWT. Dan harta yang paling bersih adalah ghanimah (harta rampasan perang). Sayangnya orang islam telah meninggalkan kerja dakwah hari ini mereka terhina.
(Maulana Yusof).

23.) Maulana Yusof mengumpamakan Daie ibarat sebuah matahari yang akan menyinarkan cahaya di kawasan mana yang di suluhnya bermula dari timur ke barat. Begitulah seorang daie akan menyinarkan cahaya hidayah kepada setiap orang yang di dakwahkannya.
(Maulan Yusof).

24.) Maulana Umar Palampuri mengumpamakan keyakinan seorang daei hanyalah kepada yang Maha Esa. Umpama seorang yang membawa cermin dan kemudian pergi ke tengah medan yang gelap lalu dilihat di dalam cermin itu bulan yang cantik. Walau bagaimanapun dia meyakini bulan yang asal adalah tetap di atas. Begitulah seorang Daie yang mempunyai sepuluh kedai miliknya tapi keyakinannya tetap kepada yang Maha Esa yang memberi rezeki hanyalah Allah SWT.
(Maulana Umar Palampuri).

25.) Kata Maulana Zakaria RA seorang yang mengambil habuan daripada agamanya adalah seumpama seorang yang mencuci mukanya dengan kasut. Tidak mustahil mukanya akan bersih tapi perbuatan begitu adalah perbuatan orang yang bodoh. Begitulah ibarat orang agama yang mementingkan habuan dunia yang tidak mustahil bahawa dia akan mendapat habuan dunia dari agamanya tapi perbuatan itu adalah amat dikeji Allah SWT.
(Maulana Zakariya Fadhail Amal).

26.) Kata Maulana, perbuatan orang ramai yang tidak mahu megamalkan perintah agama kerana ianya disampaikan oleh orang biasa adalah umpama satu orang yang tidak mahu mendengar perintah raja hanya kerana ianya disampaikan oleh tukang sapu jalanan.
(Maulana Zakariya Fadhail Amal).

27.) Seorang yang telah mendapat Nur Iman akan mengenali setiap afrad daripada perintah Allah SWT sepertimana seorang petani yang mengenali setiap jenis daripada tanamannya.
(Haji Abdul Wahab).

28.) Seorang yang mendakwa mencintai Allah SWT dan tidak menyintai selain Allah adalah seumpama seorang lelaki yang mendakwa menyintai seorang perempuan yang cantik. Perempuan itu berkata betul kamu menyintaiku? Dijawabnya benar. Perempuan itu berkata lagi cuba lihat di belakangku kakakku yang lebih cantik dariku. Lelaki itu berpaling darinya. Wanita itu berkata jika benar kamu menyintaiku,kamu sesekali tidak akan berpaling dariku. Begitulah diri kita yang mendakwa menyintai Allah tetapi sentiasa berpaling kepada makhluk lain setelah diuji-Nya.
(Haji Abdul Wahab).

29.) Seorang yang menyebut nama Allah hendaklah menggambarkan juga sifat yang lain yang ada pada Allah seperti Rahman, Ghafur Qodir dan sebagainya sepertimana seorang anak yang menyebut nama ibunya tetapi tergambar segala sifat ibu seperti penyayang pemaaf dan sebagainya.
(haji Abdul Wahab) .

30.) Seorang yang membuat usaha agama dan hanya tawajuh kepada golongan yang kaya sahaja seumpama seorang penyembelih lembu yang memegang-megang tubuh lembu sebelum disembelihnya. Orang ramai menyangka tukang sembelih barangkali kasihankan lembu yang akan disembelihnya tapi sebenarnya tukang sembelih sedang memeriksa banyak mana daging yang terdapat pada lembu itu. Begitulah seorang yang membuat usaha kepada orang kaya sekaligus terlihat dia seolah-olah kasihankan orang kaya itu yang sibuk dengan dunia, tapi pada haqiqatnya pada masa yang sama dia sedang memerhati banyak mana dunia yang ada pada si kaya supaya dia juga dapat faedah dari si kaya itu.
(Mufti Zainal Abidin).

31.) Keadaan umat yang mengamalkan hanya sebahagian daripada syukbah agama dan menganggapnya itulah keseluruhan agama adalah seperti golongan orang buta yang tidak mengenali gajah. Apabila si buta pertama memegang ekor gajah dia berkata rupa-rupanya gajah adalah seperti ular. Si buta kedua memegang perut gajah dan berkata gajah adalah seperti dinding. Yang ketiga datang dan memegang kaki gajah dan berkata rupanya gajah adalah seperti pohon kayu. Sebenarnya itu semua adalah hanya sebahagian daripada gajah. Begitulah keadaan umat hari ini yang hanya mementingkan sembahyang dan menganggap itulah keseluruhan agama. Ada yang mementingkan zikir dan berkata inilah keseluruhan agama. Ada yang mementingkan jihad dan mendakwa inilah sebenarnya agama. Haqiqatnya itu semua adalah sebahagian agama dan bukannya keseluruhan agama.
(Mufti Zainal Abidin).

32.) Mufti Sahab berkata lagi seorang Daie adalah penyelamat kepada umat ini. Apabila seorang Daie pergi berdakwah kepada umat, selalunya orang ramai akan lari mengelakkan diri dari si pendakwah tetapi sekali mereka tertangkap dan dihantar keluar 3 hari mereka akan bertaubat pada Allah SWT dan merasa bersyukur kepada orang yang membawanya keluar sepertimana burung yang berada di dalam sangkar pada mulanya lari bertempiaran apabila ada tangan yang ingin menangkapnya tetapi setelah tangan itu melepaskannya di luar sangkar barulah dia tahu bahawa tangan itu sebenarnya adalah tangan penyelamat.
(Mufti Zainal Abidin).

33.) Mufti Sahab berkata kita bukan saja harus meninggalakn dunia semasa menuju kepada sembahyang, malah kita juga harus meninggalkan khayalan tentang dunia. Apabila kita menuju untuk sembahyang kita telah pun meninggalkan dunia ketika menggangkat takbirot-ul-ihram tetapi tidak semestinya kita telah meninggalkan khayalan tentang dunia umpama kipas yang sedang ligat berpusing tidak akan terus berhenti apabila kita menutupnya. Ianya mengambil masa yang lama untu berhenti. Jadi, cara untuk meninggalkan khayalan tentang sembahyang ialah dengan datang awal ke masjid dan menunggu untuk sembahyang dengan melakukan amalan seperti sembahyang sunat, tilawat dan lain-lain, barulah khayalan akan terhapus.
(Mufti Zainal Abidin).

34.) Pernah satu ketika di Ijtimak Raiwend Mufti Sahab pernah berkata kepada orang Malaysia dan Indonesia yang bermazhab Syafie. Hai! Pengikut-pengikut Syafie kamu telah mewajibkan Fatihah dibaca dalam setiap rakaat sembahyang kamu dan dalam Fatihah ada ungkapan Tunjukilah kami Jalan Hidayah!. Kalaulah Hidayah kamu telah mewajibkannya bagaimana usaha atas hidayah itu menjadi tidak wajib?.
(Mufti Zainal Abidin).

35.) Usaha agama adalah satu tanggung jawab umat ini. Seorang yang mementingkan hanya pahala daripada usaha agama seumpama seorang yang pergi mendapatkan ubat kepada ibunya yang terlantar sakit dan mengharapkan pahala daripada usahanya untuk mendapatkan ubat itu. Maka sebenarnya dia telah berlaku zalim kepada ibunya.
(Maulana Nazir-ur-Rahman).

36.) Seorang yang menginginkan Cinta Allah tapi dalam hatinya masih menebal cinta dunia adalah seumpama seorang faqir yang meminta-minta madu pada setiap rumah yang dia pergi. Setelah tuan rumah keluar dan ingin menuangkan madu kepadanya dilihat bekas si faqir itu dipenuhi dengan kotoran. Tuan rumah membatalkan niatnya dan berkata pergi dan bersihkanlah dahulu kotoran dan kemudian kembali lagi. Begitulah yang terjadi di rumah yang kedua. Allah SWT hari ini juga boleh memberi cinta dan keyakinan-Nya kepada kita tapi masalahnya hati kita masih dihantui dengan cinta dunia. Maka tugas pertama kita adalah untuk mengikis cinta dunia di dalam setiap hati kita.
(Maulana Nazir-ur-Rahman).

37.) Perselisihan umat hari ini adalah disebabkan percanggahan pendapat yang memahami Al-Quran mengikut tafsiran sendiri seumpama kesah empat orang yang terdiri daripada empat pakar bidang tertentu telah memasuki hutan. Orang pertama adalah ustaz, yang ke-dua tukang masak, ketiga tukang sembelih dan yang keempat adalah pahlawan. Tiba di satu tempat mereka telah mendengar satu kicauan burung yang merdu dan berirama. Pahlawan mengatakan aku faham apa maksud kicauan burung itu sambil menyebut “jatuh dan lipatkan tengkuk” senada dengan irama kicaun burung itu. Tukang sembelih kata kamu salah sebenarnya burung itu berkata begini “pisau letak di tengkuk”. Tukang masak kata kamu juga salah sebenarnya begini “bawang, kacang dan daun sup”. Akhir sekali kata si ustaz kamu semua salah sebenarnya burung itu berkata begini, “Subhanallah punya Qudrot”. Begitulah ibarat setiap orang yang memahami Al-Quran dengan persepsi yang terhasil dari bidang masing-masing. Maka serahkanlah pada Ulamak yang pakar dalam bidang ini.
(Maulana Jamsyed).

38.) Keadaan umat yang tidak memahami keperluan utama umat hari ini seumpama seorang yang hampir terjatuh ke lembah dalam yang mana separuh tubuhnya terjuntai ke bawah. Datang satu orang untuk menyelamatkannya tapi dilihat bibir mangsa amat kering lalu diberikannya air di sangka mangsa mungkin kehausan. Orang kedua datang dan melihat kakinya terluka lalu disapukannya ubat. Kedua-dua tindakan mereka tidak salah tapi tidak kena pada tempatnya, Sepatutnya apa yang perlu dibuat adalah pertama sekali tarik mangsa itu dahulu ke daratan barulah boleh diberikan air atau seumpamanya kerana itu keperluan utamanya. Beginilah ibarat umat hari ada yang berpendapat umat hari ini memerlukan peningkatan ekonomi, maka ekonomi mesti di fokuskan. Ada yang kata umat kurang pendidikan, maka pendidikan mesti diutamakan. Haqiqatnya segala masalah umat hari ini adalah disebabkan kekurangan iman, maka hari ini umat memerlukan peningkatan iman terlebih dahulu barulah mereka boleh di selamatkan daripada pelbagai penyakit umat dan selepas itu barulah benda lain datang dengan sendirinya.
(Maulana Tariq Jamil).

39.) Keadaan umat yang hanya suka menegur dan menuding jari terhadap kerosakan umat hari ini adalah seperti orang ramai yang melihat satu lukisan wajah seseorang. Maka satu orang datang dan memangkah pada hidung dan berkata hidungnya bukan begini. yang kedua datang dan memangkah sambil berkata keningnya bukan begini. Lama-kelamaan lukisan itu akan dipenuhi dengan isyarat pangkah. Sepatutnya orang yang mengetahui kesilapan hendaklah menyapu dengan pemadam dan membetulkannya di tempat yang salah. Beginilah ibarat masyarakat hari ini yang hanya pandai menegur dan menuding jari sepatutnya mereka sama-sama turun medan untuk membaiki kesilapan umat. Barulah umat akan kembali terislah.
(Maulana Ubaidullah Raiwind).

40.) Rasulullah SAW telah membuat kerja dakwah dan Baginda SAW telah pun wafat dan meninggalkan dunia ini. Namun kerja masih lagi berbaki. Seumpama di dalam mazhab Hanafi si musafir diwajibkan sembahyang qasar sempanjang perjalanan. Apabila si musafir tadi disuruh menjadi imam di suatu tempat, dia juga diwajibkan hanya sembahyang dua rakaat qasar sahaja. Tetapi si muqim yang menjadi makmun di belakang mereka tidak boleh mengikut imam dengan hanya menunaikan dua rakaat saja, malah mereka hendaklah menambahkan dua rakaat lagi bersendirian. Setelah selesai empat rakaat barulah Imam dan Makmun sama-sama berdoa. Begitulah Rasulullah SAW di ibaratkan seperti Imam tadi yang telah menyelesaikan tugasnya dan baki tanggung jawab telah ditinggalkan oleh Rasulullah SAW untuk kita selesaikan sama seperti makmun tadi yang berbaki dua rakaat. Begitulah jarak masa untuk sama-sama kita dibangkitkan bersama Rasulullah SAW di akhirat kelak hanya ibarat dua rakaat sembahyang.
(Mufti Zainal Abidin).

Alhamdulillah, bitaufiqillah lengkaplah sudah 40 tamsil di dalam usaha agama di sini. Faqir mengkhatamkan tamsil ke-empat puluh dengan Qaul Mufti Zainal Abidin untuk mengingatkan kepada semua umat bahawa tanggung jawab yang ditinggalkan oleh Rasulullah SAW untuk ditunaikan kita masih lagi berbaki. Sama-samalah kita berdoa dengan Allah SWT supaya memberi taufiq kepada kita dan keseluruhan umat untuk menyambung tugas yang di tinggalkan oleh Rasulullah kepada kita. Masa untuk dibangkitkan bersama Rasulullah SAW adalah sangat sedikit berbaki iaitu umpama jarak dua rakaat sembahyang. Dan Faqir percaya hanya satu rakaat yang masih berbaki kerana Rasulullah SAW telah pun meninggalkan kita selama lebih 1400 tahun.

Suka untuk Faqir mengingatkan bahawa untuk sekalian makhluk selain Allah Azza Wa Jalla ada misal dan bandingannya, tapi untuk Allah Rab sekalian alam ini tiada sesuatu pun yang dapat menyerupainya sepertimana firmannya di dalam Qalamnya :-

ليس كمثله شيء
terjemah :- Tiada sesuatu pun yang menyerupainya. (Al-Ayat).

ABU LAIBAH
12 JUN 2010
KOTA BHARU.

No comments: