Sunday, January 10, 2010

Hadis Rasul

        Hazrat Aisyah RA berkata bahawa Rasulullah SAW bilamana Baginda berkeinginan untuk bersafar,maka Baginda akan membuat undian di antara isteri-isteri Baginda dan nama siapa yang terpilih daripada undi tersebut.maka dialah berpeluang untuk safar bersama Baginda SAW.Sayugia di dalam satu ghuzwah (peperangan),Baginda telah membuat undian di antara
kami yang mana nama aku telah terpilih daripada undian tersebut.Maka telah keluarlah aku bersama Rasulullah SAW yang mana kisah ini berlaku selepas turunnya perintah hijab.

        Aku telah didudukkan di dalam usungan lalu diangkat dan diturunkan bersama usungan
itu.Kami telah bertolak pergi sehinggalah Rasulullah SAW telah kembali daripada ghuzwah tersebut. Dalam perjalanan pulang,kami telah membuka khemah di satu kawasan yang berdekatan dengan madinah. Pada akhir malam Rasulullah SAW  telah mengiklankan waktu untuk berlepas (maksud Rasulullah SAW adalah supaya ahli kafilah menyelesaikan keperluan masing-masing dan bersedia untuk bertolak pada bila-bila masa). Aku terus  bangkit (untuk mengkadhakan hajat) bila saja mendengar iklan daripada Baginda SAW dan terus berjalan sehinggalah meninggalkan jauh bala tentera Rasulullah SAW.

              Satelah selesai daripada qadha hajat aku bersegera datang kepada kenderaanku
dan setelah meraba-raba ke dadaku,aku dapati rantai leher yang aku tempah dari pasar
"zafar" telah hilang.Aku segera kembali ke tempat tadi dan terus mencari.Pencarian itu telah melambatkan aku.Di sana, mereka yang ditugaskan untuk mengangkat usunganku telah mengangkat usungan dan telah meletakkannya di atas unta dengan anggapan bahawa aku masih berada di dalamnya.

            Disebabkan wanita pada zaman itu adalah kurus sahaja,tidaklah terlalu gemuk dan tidaklah pula mereka dibebani dengan daging yang banyak (gambaran terhadap tubuh yang gemuk) disebabkan mereka hanya makan secara sederhana sahaja,oleh sebab itulah sewaktu
mengangkat usungan itu mereka tidak merasakan sebarang keasingan.Lagipun aku pada waktu itu masih berusia kanak-kanak.Lalu mereka pun telah menggerakkan unta dan  terus bertolak.Aku telah menemui rantaiku selepas kepergian mereka.Setelah aku kembali ke tempat perkhemahan,tidak aku dapati sebarang penyeru dan tidak juga sebarang penyahut (menandakan semua mereka telah bertolak).

          Aku telah beriradah untuk ke tempat asalku dengan anggapan apabila mereka sedar akan kehilanganku, mereka akan kembali mencari aku di situ.(kalaulah aku kesana dan kemari
sudah tentu akan menyusahkan mereka untuk mancari daku).Aku telah duduk di tempatku sehinggalah mengantuk menguasaiku lalu aku terus tertidur.

             Seorang sahabat yang bernama Safwan Bin Muattal Salmi telah ditugaskan untuk berjalan di belakang tentera islam (supaya sekiranya terdapat sebarang benda milik tentera yang jatuh akan dikutipnya).Beliau telah sampai di tempat aku tidur pada waktu subuh.Beliau telah melihat bentuk tubuh manusia yang sedang tidur dan apabila beliau telah datang dekat padaku dan melihat daku,beliau telah mengecami daku kerana beliau telah pun melihat rupaku
sebelum turunnya hukum purdah lagi.Ucapan istirja'nya (ucapan inna lillahi wa inna ilaihi
rajiu'un) telah menyedarkan daku daripada tidur dan aku segera menutupi wajahku dengan cadarku. Demi Allah!! kami tidak bercakap satu patah perkataan pun dan tidak pula aku mendengar satu kalimah pun daripadanya selain ucapan istirja' yang diucapkannya tadi.

              Beliau telah turun dari untanya dan telah mendudukkan untanya lalu menekan kaki depan untanya (supaya memudahkan daku untuk menaikkinya).Aku telah bangkit lalu menungganginya sementara beliau telah berjalan sambil menarik tali unta pada sebelah depannya.Pada waktu tengah hari, kami telah sampai pada tempat perkhemahan askar.Dan mengenai diriku,mereka yang hendak binasa,telah pun binasa dan orang yang mengambil bahagian besar dalam penfitnahan terhadap diriku adalah Abdullah Bin Ubai Bin Salul......

               Hazrat Urwah berkata,diberitahu kepadaku bahawa Abdullah Bin Ubai telah memulakan tohmah dan fitnah,bila ada yang membicarakan padanya tentang fitnah,dia lalu membenarkannya,dia mendengar dan menokok nambahkannya.Selain itu,mereka yang a mengambil bahagian dalam penfitnahan itu adalah Hassan Bin Sabit,Mastah Bin Usasah
dan Hamnah Binti Jash,orang lain aku tidak mengetahuinya,tetapi aku yakin ianya adalah satu
jemaah sepertimana firman Allah Jalla Jalaluh "Sesungguhnya mereka yang mendatangkan fitnah adalah satu jemaah daripada golongan kamu"....Hazrat Urwah ber
kata,bahawasanya Hazrat Aisyah RA tidak menyukai sesiapa yang memburukkan Hazrat
Hassan di depannya.Dia berkata bukankah Hassan yang mengucapkan rangkap syair ini.....

        "Demi ayah dan ayah kepada ayahku,  ...dan kemuliaanku adalah disebabkan            kemuliaan Muhammad SAW..  aku akan mempertahankan perisai didepanmu"

      Hazrat Aisyah RA berkata,kemudian kami telah datang ke Madinah,bila sampai di Madinah,aku telah jatuh sakit selama sebulan,orang-orang telah menjadikan percakapan ahli-ahli fitnah sebagai topik isu perbualan mereka.Namun aku tidak tahu menahu pun mengenainya.Namun, sewaktu daku  jatuh sakit,daku mengesyaki perkara ini dari tingkah
laku Baginda SAW yang mana daku tidak melihat sifat lembut dan belas kasihan dari Baginda SAW melayani daku seperti mana yang daku lihat ketika mana daku jatuh sakit sebelum ini.Hanyalah setakat Baginda datang kepadaku dan menanyakan tentang kesihatanku..apa khabar kamu?..dan kemudian keluar kembali.


            Cukup dengan sekadar melihat sikap Rasulullah saw terhadapku,aku dapat merasainya,tapi aku tidak mengetahui bahawa keburukkan yang manakah telah
menimpa diriku.Apabila diriku telah sedikit sihat,aku telah keluar ke arah "manasi' "
bersama Ummu Mastah dan ianya adalah tempat qadha hajat kami yang mana kami hanya keluar pada malam hari untuk menunaikan hajat kami.Ini adalah zaman di mana
tiada adat membina baitul-khala di tepi-tepi rumah.Adab kami orang arab pada awalnya
mereka yang ingin menunaikan hajat terpaksa pergi ke tempat yang jauh di dalam hutan.Kami merasa tidak selesa membina baitul khala berdekatan dengan rumah-rumah kami.


             Namun daku telah keluar bersama Ummu Mastah.Ummu Mastah adalah anak kepada Abu Raham Bin Al-Muttalib Bin Abdul Manaf dan ibunya adalah merupakan anak kepada Sakhar Bin Amir yang mrupakan emak saudara kepada Hazrat Abu Bakar Siddiq RA dan Mastah Bin Usasah Bin Ibad Al-Muttalib pula adalah anak kepada Ummu Mastah.Sayugia
setelah kami berdua selesai dari qadha hajat,dalam perjalanan pulang ke rumah, Ummu mastah sambil membalikkan  kain cadar besar yang menutupinya lalu berkata, "celakalah
Mastah".Aku berkata engkau telah mengucapkan satu kalimah yang besar (padahnya),adakah kamu sedang memaki hamun seorang yang pernah melibatkan dirinya dalam perang Badar? Ummu Mastah lalu menjawab, wahai Aisyah, adakah kamu tidak mendengar apakah yang telah disebarkan oleh Mastah? aku bertanya,apa yang dikatakannya? barulah dia menceritakan segalanya kepadaku tentang  cerita fitnah itu yang menyebabkan sakit aku semakin bertambah.


                Apabila aku pulang ke rumah,Rasulullah SAW telah datang kepadaku,dan
selepas memberi salam, Baginda SAW bertanya,bagimana kesihatan kamu? Aku telah meminta izin daripada Baginda, adakah engkau membenarkan aku untuk pulang ke rumah orang tuaku? maksudku adalah untuk aku selidiki masalah ini daripada mereka.Rasulullah SAW telah memberi keizinan kepadaku lalu aku bertanya kepada ibuku, ibu,apakah yang mereka semua sedang katakan? Ibu menjawab, anakku, janganlah engkau sedih,Demi Tuhan, jarang sekali terjadi begini bahawasanya seorang gadis  yang cantik yang tinggal bersama seorang lelaki yang dicintainya dan gadis itu pula mempunyai madu-madunya kemudian mereka tidak menonjolkan keaibannya? Aku berkata,Subhanallah! betullah rupanya manusia sedang mempercakapkan tentang fitnah itu.


             Pada malam itu aku terus menangis sehinggalah ke waktu subuh,sepanjang malam,
tiada lagi air mata yang keluar dan tidak pula mengantuk menguasai diriku.Di sebelah yang lain Rasulullah SAW telah memanggil Sayyidina Ali RA dan Hazrat Usamah Bin Zaid RA dan sehingga waktu itu wahyu telah terhenti (ini adalah kerana kedua-dua mereka adalah orang rumah Nabi SAW).Baginda SAW telah bermesyuarat dengan kedua-dua sahabat itu mengenai perpisahan dengan isterinya.Usamah Bin Zaid telah menegaskan tentang kesucian isteri Nabi mengikut pengetahuannya dan berdasarkan pengetahuannya tentang Ahli Bait, selaras dengan itu lah dia telah memberi pandangan.

              Oleh itu beliau berkata, itu isteri kamu,dan tidaklah kami mengetahui kecuali kebaikkan mengenai dirinya.Namun Hazrat Ali RA semasa memberi pandangan berkata, Wahai Rasulullah, Allah tidak menyempitkan ke atas kamu, (jika sekira berasaskan mulut-mulut mereka itu dan engkau merasa tidak selesa dengan Aisyah RA) masih ramai lagi wanita lain, atau tanyalah hamba ( iaitu hamba yang tinggal dengan Hazrat Aisyah RA,sudah tentu dia mengetahui keadaan sebenar),dia akan memberi jawapan yang sebenarnya.


            Oleh itu Rasulullah SAW telah memanggil Hazrat Barirah, wahai Barirah,adakah kamu melihat (dari Aisyah) apa-apa yang menimbulkan keraguan pada dirimu?.Hazrat Barirah lalu menjawab, Demi Zat yang telah mengutuskanmu dengan kebenaran! aku tidak pernah melihat apa-apa benda yang mendatangkan keaiban padanya.Hanya apa yang aku lihat, Beliau adalah seorang gadis yang berusia kanak-kanak, yang menguli sendiri gandum di rumahnya lalu  tertidur.Kemudian datang seekor kambing lalu memakan gandum itu.( Beliau begitu sederhana sekali,bagaimana kita boleh menaruh syak wasangka terhadapnya?) Bersambung......




Friday, January 8, 2010

Salam Ukhwah,

Salam Ukhwah..,

        Hari ini sudah masuk hari ke-9 tahun baru hijrah,tapi aku masih lagi aku seperti aku yang dulu-dulu,tada keistimewaan,tiada pembaharuan dan tiada pula kemerosotan (dari segi dunialah..).Iman? semakin merudum..amal? semakin menyusut..akhlak?semakin melesap..dunia? alhamdulillah tak bertambah tak berkurang.Dan perlu dingat!! Iman adalah yaziidu wa yanqusu (sentiasa bertambah dan berkurang),tiada iman yang kekal,kalau tak bertambah berkuranglah ia.
        Maka,tahrik ke atas iman hendaklah sentiasa diteruskan..ibarat perut kita yang sentiasa perlu disumbat makanan,kalau tidak,tinggallah ia kelaparan.Begitu jugalah dengan perut ruhani kita yang sentiasa perlu pada makanan dan apakah makanannye?Maka amalan yang soleh adalah makanannya.akhlak yang elok adalah minumannya dan taqwa adalah pakaiannya.
      Manusia yang berakal adalah mereka yang dapat mendidik nafsunya dan sentiasa bersiap untuk menghadapi mautnya.Pastikan kehidupan hari ini lebih baik daripada semalam.kalau semalam punya amalan macam budak america,hari ini punya amalan mesti macam Abu Bakar, kalau punya sembahyang macam haprak,hari ini punya sembahyang mesti macam sahabat.kalau semalam punya akhlak macam samseng,hari ni punya akhlak mesti macam Sayyidina Hussain sehendaknya.Baru lah dikatakan azam tahun baru.ini tidak,azam tahun baru nak pindah rumah baru,nak tukar kereta baru,nak dapat bini baru...pasal sembahyang,masih di takuk lama,kadang-kadang baju pun tak pakai..nak mengadap Allah Azza wa Jalla.Pasal akhlak,Huh..firaun pun kalah.Pasal amalan,bab tahlil je duduk saf depan,bab sembahyang jemaah,hidung pun tak nampak bayang.
         Faqir tak tahu apa nak jadi dengan orang islam sekarang.mereka seolah dipermainkan oleh orang-orang kafir lantaran iman yang amat ketandusan.Islam hanya tinggal pada nama sahaja,hanya tinggal pada nama jalan,nama masjid dan nama Bank sahaja.Amalan islam sudah amat merosot,akhlak islam sudah jelas menyusut.Umat islam hari ini sudah hampir memenuhi kriteria-kriteria alamat qiamat yang kecil.
          Martabat Islam sudah jatuh merudum,penganut islam sudah dianggap pengganas dan teroris.Berita hari ini makin menguatkan lagi hujah dan dalil yang Faqir utarakan apabila tiga gereja di Lembah Kelang diserang secara berasingan.nasib baik hanya satu gereja saja yang meletup,dua lagi tidak meletup.(menggambarkan di Malaysia masih belum ada pakar bom teroris).Ini semua gara-gara kebenaran yang diberikan oleh Mahkamah Tinggi
Kuala Lumpur kepada majalah Herald-The Chatolic Weekly terhadap penggunaan kalimah Allah.
         "Bodooh".Inilah perkataan yang tersembul daripada mulut Faqir apabila mendengar berita tiga gereja yang diserang semalam.Bukan apa,hanya sedih melihatkan sikap segelintir umat islam  yang terlalu emosi menangani isu ini.Tapi terlintas juga dalam fikiran Faqir mungkin ini tindakan sabotaj sesetengah pihak yang memang ingin melaga-lagakan antara agama dan menyemarakkan api permusuhan di antara agama.Ini tidaklah mustahil kerana sewaktu Faqir belajar di Pakistan dulu apabila masjid Sunni di bom,selang beberapa hari akan kedengaranlah pula berita masjid Syiah di bom.Sebilangan besar rakyat Pakistan percaya tindakan sabotaj itu dilakukan oleh satu ejensi yang bertindak untuk melagakan ke dua pihak Sunni dan Syiah.
           Kalau lah benar serangan itu dilakukan oleh orang Islam,maka pada pandangan Faqir itulah tindakan orang islam yang amat bodoh yang dilakukan pada awal tahun ini.Ini kah ajaran Rasulullah SAW? Islam mengharamkan untuk memusnahkan rumah ibadat agama lain hatta dalam peperangan sekalipun ianya tidak dibenarkan.Umat Islam memang mudah melenting apabila imej zahir mereka diconteng,tapi tidak pernah sedar pun bahawa batinan mereka semakin hari semakin dihakis oleh si kafir dan yahudi yang sememangnya mahukan kemerosotan ruh islam baik melalui hiburan mahupun tipu daya melalui makanan.insaflah!!!
INTIHA.
   

Wednesday, January 6, 2010

Untukmu wahai isteriku...


                                                                                                                                                                                                      Hari ini aku pergi....                                       

Meninggalkan kamu,
Meninggalkan anak-anak kita,
Meninggalkan rumah kita yang penuh
ketenangan.


Hari ini aku pergi...
kerana perintah dari Zat (ALLAH)
Yang telah memancapkan getaran
dihatiku
Ketika aku menatap mu....
Disaat malam pertama kita.

Hari ini aku pergi...
Untuk menyenangkan hati
Seorang yang telah korbankan
Seluruh hidupnya (Rasulullah)
Untuk kebahagiaan kita hari ini
Sehingga kamu dan aku berjumpa
Dalam keadaan Islam.



Hari ini aku pergi....
Untuk menghapuskan luka
Sayyidul Anbiyya Mohd SAW
Kerana lautan maksiat
Yang telah dibuat..
Oleh orang yang mengaku sebagai ummat


Jadi wahai isteriku!!
Aku pergi tinggalkan kamu..
Untuk datang kepada Zat ALLAH
Yang memiliki hati kamu
Hingga bersemi cinta diantara kita


Aku pergi meninggalkanmu
Bukan kerana aku aku tak menyayangimu..
Tetapi ada mata yang tak pernah
mengantuk..
Mengawasi cinta kita
Ada tangan yang akan memukul kita
Ketika cinta kita melebihi cinta
Kepada-Nya.


Jika esok...
Ketika kau terbangun dari tidurmu
kau tak dapati aku disisi mu...
Maka cepatlah bertasbih!!
Alhamdulillah...!!!
Alhamdulilllah...!!!

Tuesday, January 5, 2010

MDUL

                                                      Madrasah Dalam Kebun                                                                                                           

             Ini lah gambaran luar Madrasah Darul Uloom Lilbanat Pasir Tumboh dan Allah S.W.T tidak memandang rupa kamu dan harta-harta kamu tetapi Dia memandang hati-hati kamu dan amalan kamu (mafhum hadis Nabi SAW).Lilbanat bermaksud untuk wanita memandangkan madrasah ini Faqir buka hanya untuk kaum Hawa,disebabkan itulah ianya dinamakan demikian.Madrasah ini Faqir asaskan atas sistem dars-nizami (sistem yang diasaskan di Darul Uloom Deoband, India) yang mana sistem ini adalah peninggalan pusaka sistem pengajian salaf-us-solihin.
                Madrasah ditubuhkan pada awal tahun 2008 di sebuah tempat di Wakaf Bharu,Tumpat kelantan yang mana ketika itu sistem pengajian dijalankan secara ulang alik (tanpa asrama) disebabkan tempat yang amat terhad dan dimulai dengan hanya dua orang pelajar.Alhamdulillah summa alhamdulillah sekarang ini sudah hampir dua tahun lebih madrasah beroperasi dan kini madrasah telah berpindah di sebuah kawasan kebun di Pasir Tumboh, Kota Bharu (madrasah dalam kebun) iaitu sebuah bangunan dua tingkat di sebuah tapak tanah seluas satu ekar.Dengan rahmat Allah kini madrasah sudah mempunyai hampir dua puluh orang pelajar.
                Terdapat dua syukbah MDUL iaitu syukbah hafizah dan syukbah alimah (pengajian kitab).setakat ini MDUL mempunyai tiga orang tenaga pengajar iaitu 2 orang ustaz dan 1 orang ustazah hafiz dan buat masa ini kami memerlukan seorang lagi ustazah.(ustazah yang berkelayakan,berminat dan masih bujang boleh memohon).Disebabkan MDUL adalah sebuah institusi persendirian dan bukan di bawah JPN ataupun YIK maka kami mengenakan yuran pengajian sebanyak RM100 (untuk seumur hidup) dan yuran bulanan hanya sebanyak RM120 sebulan.
             Sesiapa yang mempunyai anak yang berketurunan Hawa dan ingin menyelamatkan anak-anak anda dari arus gelombang kehidupan rosak pasca moden serta berminat,bolehlah mendaftarkan anak anda di MDUL dengan menghubungi Mudir madrasah di talian 012-6941920 atau ustazah di talian 017-9755276.Sesiapa yang ingin menanam saham akhirat,bolehlah menaburkan benih dengan memberi sumbangan kepada madrasah di no akaun Bank Islam 03018010122345 atas nama Darul Uloom Lilbanat.Nak tahu lebih lanjut lagi ziarahlah sendiri ke madrasah kami di Pasir Tumboh Kelantan.Tunggu apa lagi!!.